Saturday, October 26, 2013

20,000 penyokong rebut 10,000 tiket

Petra Jaya: Hari terakhir penjualan tiket, semalam menyaksikan kehadiran penonton ke Stadium Negeri untuk mendapatkan 10,000 tiket ditawarkan meningkat sekali ganda sehingga mencetuskan beberapa insiden termasuk lima penyokong pengsan.
Penjualan tiket perlawanan antara Sarawak menentang Pahang menyebabkan pekarangan stadium semakin hangat apabila diserbu lebih 20,000 penyokong Ngap Sayot selepas gagal memperoleh tiket sejak kelmarin, sehingga menyebabkan beberapa insiden tercetus.
Ribuan mereka terpaksa basah kuyup berikutan hujan namun kebanyakan pulang hampa apabila 10,000 dijual habis dalam tempoh dua jam.

Walaupun dimaklumkan tiket sudah habis, namun ratusan penyokong tidak berganjak dari stadium berkenaan dengan harapan ada tiket untuk mereka menyaksikan perlawanan penting itu. 
RIBUAN penyokong Sarawak sanggup datang seawal jam 5 pagi bagi mendapatkan tiket perlawanan Piala Malaysia separuh akhir kedua di antara Sarawak menentang Pahang, hari ini.

Seorang penyokong Sarawak, Junaidi Hafis, 43, berkata dia datang dari Cheras, Kuala Lumpur, turut melahirkan rasa kecewa apabila tidak sempat mendapatkan tiket.

“Saya dan rakan sanggup mengambil cuti untuk datang ke sini (Kuching) semata-mata mahu menyaksikan perlawanan separuh akhir.

“Bagaimanapun, sebaik tiba seawal jam 7 pagi, kami sudah menjangka perkara itu apabila terdengar khabar angin mengatakan jualan tiket itu terhad,” katanya.

Bagi Dimitris Basias, 28, dari Gras, Itali, yang datang sejak semalam untuk menyaksikan perlawanan itu berkata, dia kecewa kerana tidak sempat membeli tiket.

“Selain melancong, saya sememangnya berhajat menyaksikan perlawanan itu secara langsung di sini. Namun, semangat berkobar itu hanya sia-sia kerana dalam sekelip mata, tiket sudah habis dijual.” katanya.

No comments:

Post a Comment