DUA jaringan lewat perlawanan menerusi Ahmad Fakri Saarani dan Mohd
Badhri Radzi atau Piya memastikan juara bertahan Piala Malaysia,
Kelantan melangkah ke pentas final selepas menewaskan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM), menerusi agregat 4-3 pada aksi separuh akhir kedua, di
Kota Bharu, malam tadi.
Nyata gelanggang keramat The Red Warriors di Stadium Sultan Muhammad
IV mencetuskan masalah besar buat ATM yang terpaksa akur dengan
kebangkitan tuan rumah pada lewat perlawanan untuk mengikat kedudukan
2-2
ATM tewas 2-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Kelantan kini menanti pemenang
antara Pahang dan Sarawak yang membuat perhitungan dalam satu lagi aksi
separuh akhir, malam ini.
MOHD Badri Radzi (Piya) memberi kasut yang di pakai kepada peminat
selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad
IV
Penyerang import pelawat dari Saint Vincent and The Grenadines,
Marlon Alex James jelas menjadi kunci utama kebangkitan peringkat awal
The Gladiators apabila meledak dua jaringan pada babak pertama walaupun
berpeluang melebarkan lagi jaringan dengan beberapa lagi peluang
diperolehnya.
Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menyerang namun ATM
lebih menyerlah apabila mempamerkan aksi lebih disiplin terutamanya
ketika Kelantan menyerang kubu mereka dan Dickson Nwakaeme jelas gagal
memainkan peranannya dalam 45 minit pertama kerana dikawal rapi
pertahanan lawan yang dikemudi Norfadzly Alias dan Mohd Shukor Adan.
Situasi sebaliknya dialami James apabila dilihat bebas berkeliaran
di kotak penalti tuan rumah terutamanya dengan kerapuhan gandingan
Obinna Nwaneri dan Azizi Matt Rose yang gagal mengekang penyerang import
itu membuka jaringan pada minit ke-17 dan 35.
Bersambung babak kedua, Kelantan cuba mencari gol untuk menyamakan
agregat dengan peluang terbaik hadir menerusi tandukan Nwakaeme hasil
hantaran Piya, namun percubaan itu sekadar menggegar palang pada minit
ke-65 sehinggalah perlawanan memasuki 10 minit terakhir dengan pemain
gantian, Fakri memulakan kebangkitan Kelantan menerusi rembatan kencang
untuk menggegar gawang Mohd Farizal Harun pada minit ke-81.
Jaringan berkenaan nyata menghidupkan kembali suasana stadium yang
dibanjiri kira-kira 20,000 penyokong dan Piya sekali lagi membuktikan
kehebatannya apabila merembat hantaran pemain pertahanan Zairul Fitrie
Ishak untuk memastikan keputusan seri 2-2, di Kota Bharu bagi
membolehkan mereka menang dengan agregat 4-3.
No comments:
Post a Comment